28 Jun 2026, Kompleks Islam Putrajaya – “Dalam dunia hari ini yang sarat gelombang fitnah, berita palsu, dan maklumat separuh masak, tradisi debat inilah yang membentuk minda kritis serta disiplin dalam menapis hujah!”.
Demikian amanat penuh mendalam daripada YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sewaktu merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Debat Bahasa Arab Antarabangsa hari ini.
Bertempat di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya, majlis berprestij ini menyaksikan kemuncak persaingan sengit yang melibatkan 32 pasukan dan 128 pendebat muda terulung! Bukan sahaja melibatkan sekolah-sekolah hebat dalam negara (SABK, SBP, MRSM, SMKA, SMK & Swasta), malah pentas ini digegarkan dengan penyertaan antarabangsa dari Indonesia dan Singapura.
Syabas diucapkan kepada para pemenang yang berjaya membawa pulang Piala Pusingan Pertandingan Debat, piala kemenangan, sijil, serta cek cura penghargaan. Program ini merupakan anjuran bersama Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), JAKIM dan Kementerian Pendidikan Malaysia, dengan kerjasama strategik JAKIM, YAPEIM, YADIM, dan Yayasan Taqwa MAIWP.
Komitmen ini membuktikan kesungguhan kita dalam melahirkan pelapis pendebat negara berkelas dunia serta memartabatkan komunikasi Bahasa Arab dengan fasih dan berkeyakinan tinggi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran barisan tetapan kehormat Timb. Ketua Pengarah Operasi JAKIM, YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib bin Ismail, Timb. Pengarah Bahagian Pengurusan SBP, YBrs. Puan Wan Suryani binti Wan Mohd Razali, Timb. Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Ustaz Ahmad Talmizi bin Yahaya, Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi bin Nasan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Dr. Mohd Faridh Hafez bin Abd Omar , Pengetua SMAP Kajang, Tuan Haji Abd Rashid bin Zainal.
Penganjuran impak tinggi ini mencerminkan komitmen dalam memacu Agenda Malaysia MADANI, khususnya melalui teras pembangunan modal insan yang berakar umbi dengan nilai kemampanan fikiran dan ihsan.
Melalui sinergi erat sektor agama dan pendidikan ini, kita bukan sekadar melahirkan generasi yang fasih berbahasa Arab, malah membina anak bangsa yang berupaya mengangkat martabat hujah Islamiah di pentas global secara beretika, matang, dan berkeyakinan tinggi.



















