Mudik Ke Hulu Tasik Banding 2026

/ / Dakwah
TASIK BANDING, GERIK PERAK 24 -26 Julai 2026 – Program Mudik ke Hulu Tasik Banding 2026 menjadi wadah mendekati dan menyantuni masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman, selain memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan komuniti setempat.
 
Program yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan itu menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan di bawah Hal Ehwal Agama dan rakan strategik dari badan korporat yang bersama-sama turun padang bagi menyampaikan khidmat, bantuan serta menyelami keperluan masyarakat Orang Asli.
 
Antara pengisian utama program ialah ziarah dari rumah ke rumah bagi menyantuni keluarga dan meninjau secara dekat kehidupan serta keperluan masyarakat setempat. Pendekatan ini menjadi ruang untuk mendengar sendiri suara dan aspirasi penduduk, di samping menyampaikan bantuan serta sokongan kepada mereka yang memerlukan.
 
Turut mencuri perhatian ialah perlawanan persahabatan futsal antara YB Menteri bersama belia setempat, yang berlangsung dalam suasana santai dan penuh semangat kesukanan. Aktiviti tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah memperlihatkan pendekatan kepimpinan yang dekat dengan rakyat tanpa mengira latar belakang.
 
Program turut dimeriahkan dengan aktiviti sukaneka yang melibatkan masyarakat setempat khususnya kanak- kanak, serta pemeriksaan kesihatan bagi memberikan kesedaran dan akses kepada penjagaan kesihatan kepada komuniti.
 
Dalam program tersebut, jumlah keseluruhan sumbangan yang berjaya dihimpunkan adalah sebanyak RM390,185.00 hasil kerjasama dan komitmen pelbagai agensi serta pihak korporat yang bersama-sama menjayakan inisiatif berkenaan.
 
Daripada jumlah tersebut, Yayasan Taqwa -MAIWP turut tampil menyumbang sebanyak RM44,000 kepada masyarakat Orang Asli di Tasik Banding.
Sumbangan tersebut merangkumi sumbangan pengimarahan kepada 4 buah surau, bakul Rahmah Madani kepada 200 KIR serta saguhati kepada kanak-kanak, sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang kepada komuniti setempat.
 
Sumbangan ini bukan sekadar bantuan material, malah mencerminkan komitmen Yayasan Taqwa – MAIWP dalam memperkasa masyarakat serta memastikan golongan yang berada di kawasan pedalaman turut mendapat perhatian dan disantuni.
 
Kehadiran YB Menteri bersama agensi di bawah beliau yang terlibat turut mencerminkan pendekatan kerajaan yang sentiasa mendekati rakyat, mendengar suara masyarakat dan memastikan agenda Malaysia MADANI dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi dan latar belakang.
Program ini berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat Orang Asli untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan kepimpinan dan agensi kerajaan.
 
Turut serta dalam program tersebut adalah Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, YBhg. Dr Muhammad Yamin bin Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, YBhg. Dato’ Hj. Harith Fadzilah Abd. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa – MAIWP, YBhg. Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar serta wakil – wakil agensi Persekutuan dan Negeri yang terlibat.
 
Sesungguhnya, Mudik ke Hulu Tasik Banding bukan sekadar sebuah perjalanan ke pedalaman, tetapi sebuah perjalanan membawa kasih, ihsan dan harapan kepada masyarakat. Dari hulu kita menyantuni,bersama kita membina Malaysia MADANI.