Perkasa Prospek Penjara Melalui Pendidikan TVET

/ / Pendidikan
28 Julai 2026, Bentong – Yayasan Taqwa-MAIWP terus memperkukuh komitmen dalam memartabatkan agenda pendidikan melalui pelaksanaan Program Transformasi Kehidupan dan Keusahawanan yang menyasarkan golongan prospek penjara sebagai persediaan reintegrasi ke dalam masyarakat.
 
Program Transformasi Kehidupan dan Keusahawanan ini dirangka sebagai satu inisiatif pemulihan yang berfokus kepada pembangunan insan melalui pendidikan. Sasaran utama program ini adalah golongan prospek penjara yang memerlukan peluang kedua untuk membina masa depan yang lebih baik, di mana mereka berpeluang memperoleh sijil kemahiran yang diiktiraf industri dalam tempoh yang singkat bagi meningkatkan kebolehpasaran di pasaran kerja.
 
Sebagai tanda sokongan padu terhadap inisiatif ini, Yayasan Taqwa-MAIWP telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM156,000. Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato’ Seri Haji Abdul Aziz bin Abdul Razak, Komisioner Jeneral Penjara, telah diadakan bertempat di Dewan Perdana, Kompleks Penjara Bentong, Pahang. Melalui ucapannya, beliau menyifatkan program ini sebagai titik tolak penting dalam membina jati diri serta keyakinan para peserta untuk kembali berbakti kepada komuniti.
 
Kejayaan program ini merupakan hasil sinergi strategik antara Jabatan Penjara Malaysia dan City University Malaysia dengan kerjasama erat daripada Yayasan Taqwa-MAIWP. Seramai 26 orang prospek yang berjaya melepasi saringan kelayakan akan mengikuti modul pembelajaran selama enam bulan merangkumi bidang keusahawanan, pembangunan kepimpinan, komunikasi, pengurusan kewangan, pemasaran digital, pembinaan sahsiah serta kemahiran insaniah.
 
Majlis ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi termasuk Y.Bhg. Dato’ Mohammad bin S. Ahmad (Pengerusi Yayasan Taqwa-MAIWP), Y.Bhg. Datuk Mohamed Zaini bin Amran (Pro Canselor City University Malaysia), Y.Bhg. Encik Rosoman bin Abu Bakar (Timbalan Komisioner Jeneral Penjara), Y.Bhg. Prof. Dr. Rosnizah binti Shaari (Naib Canselor City University Malaysia), Y.Bhg. Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar (Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP), Y.Bhg. Puan Hajah Nora binti Musa (Pengarah Bahagian Korektif Ibu Pejabat Penjara Malaysia), Y.Bhg. Encik Suhaizak bin Abdul Wahab (Pengarah Penjara Negeri Pahang), dan Y.Bhg. Encik Ahmad Rizal bin Mohd Ghazali (Pengarah Penjara Bentong).
 
Yayasan Taqwa-MAIWP yakin bahawa inisiatif yang dilaksanakan menerusi pendekatan komprehensif ini mampu meningkatkan potensi para prospek agar menjadi individu yang lebih berdaya saing, berdikari serta berupaya menyumbang secara positif kepada pembangunan masyarakat dan negara.