20 Ogos 2026, Klang – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim hari ini menyempurnakan perasmian Program Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026 yang menjadi wadah utama dalam membina kesatuan fikrah dan amal bagi memartabatkan agama Islam di Malaysia seiring dengan gagasan Malaysia Madani.
Program yang diadakan bertempat di KSL Esplanade Hotel ini mengetengahkan tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang berkaliber dengan membawa pendekatan Islam yang sederhana dan rahmah. Usaha ini dilihat sangat kritikal dalam membentuk jaringan yang lebih luas di kalangan pelajar dan mahasiswa bagi menyumbang kepada pembangunan peradaban negara yang lebih inklusif dan mampan di masa hadapan.
Sebagai tanda sokongan utuh terhadap kelangsungan agenda pendidikan ummah, Yayasan Taqwa MAIWP telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM130,000 kepada 13 buah Persatuan Mahasiswa Luar Negara. Gimik penyerahan sumbangan tersebut telah disaksikan oleh YAB Perdana Menteri semasa majlis perasmian berlangsung sebagai simbolik komitmen agensi dalam memperkasa golongan mahasiswa yang beradab dan berpengetahuan.
Penganjuran program ini merupakan hasil sinergi strategik antara Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Kerjasama ini turut diperkukuhkan lagi dengan penglibatan rakan strategik lain merangkumi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Taqwa MAIWP, YAPEIM, IKIM, serta rakan media rasmi TV Alhijrah.
Majlis penuh bermakna ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi negara antaranya YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Y.Bhg. Prof. Datuk Dr. Hasan Bahrom, Yang Dipertua YADIM, YBhg. Dato’ Mohammad Bin S.Ahmad, Pengerusi Yayasan Taqwa MAIWP serta Y.Bhg. Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia Luar Negara dan para pelajar.
Dalam amanatnya, YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa cabaran utama dunia hari ini bukanlah pertembungan tamadun (clash of civilizations), sebaliknya pertembungan kejahilan (clash of ignorance). Beliau menyeru agar para pelajar dan anak muda melengkapkan diri dengan penguasaan ilmu pengetahuan yang mendalam bagi mendepani segala bentuk kepalsuan dan ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian negara.
Yayasan Taqwa MAIWP menaruh harapan tinggi agar penganjuran HAMKA Antarabangsa 2026 ini mampu melahirkan generasi muda yang berilmu dan berakhlak mulia, seterusnya menyatakan komitmen berterusan untuk menyokong program-program yang memberi impak positif kepada pembangunan modal insan di Malaysia.
































