30 September 2026 | Semenyih
“Walau apa pun keadaannya, dia adalah amanah yang saya perlu jaga.”
Itulah pegangan Abdul Fatah Aziz yang setia menjaga isterinya, Ummu Nasibah Nasohah, yang menghidap Motor Neuron Disease (MND) sejak 2018.
Akibat penyakit tersebut, Ummu Nasibah kehilangan keupayaan untuk berjalan dan bertutur serta memerlukan penjagaan sepenuhnya. Sebelum ini, beliau berkhidmat selama 10 tahun sebagai pensyarah Bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Bagi membantu isterinya berkomunikasi, Encik Fattah mendapatkan peranti pertuturan yang dikendalikan melalui pergerakan mata dengan harga RM2,000 hasil bantuan USIM dan rakan-rakan.
Peranti tersebut disambungkan kepada komputer riba bagi membolehkan Ummu Nasibah berkomunikasi dengan suami dan ahli keluarganya. Walaupun tidak lagi dapat bertutur seperti dahulu, peranti itu menjadi penghubung buat Ummu Nasibah menyampaikan kata-kata, keperluan dan kasih sayangnya kepada suami serta anak-anak.
Anak sulung mereka, Umar Farouq 17, turut membantu menjaga ibunya walaupun sedang membuat persiapan menghadapi SPM. Dia tetap melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh kasih sayang dan kesabaran.
Menyedari cabaran yang dilalui keluarga ini, Yayasan Taqwa – MAIWP turut hadir menyalurkan bantuan bagi meringankan beban serta memenuhi keperluan harian mereka.
Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa – MAIWP, Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar bersama pasukan Yayasan Taqwa – MAIWP di kediaman keluarga berkenaan.
Semoga Allah SWT terus mengurniakan kekuatan, kesabaran dan ketabahan buat Encik Fattah sekeluarga serta memberikan yang terbaik buat Ummu Nasibah.

















