04 Oktober 2026, Janda Baik – Yayasan Taqwa MAIWP terus komited memperkasakan agenda pendidikan negara melalui penganjuran Program Mukim Ilmu, sebuah inisiatif pembangunan intelektual bagi melahirkan barisan pemimpin belia yang kritis dan konstruktif dalam mendepani cabaran global kontemporari.
Program intensif selama empat hari ini menghimpunkan seramai 25 orang mahasiswa daripada beberapa buah universiti awam bagi mengikuti siri wacana intelektual yang mendalam. Pengisian program ini dirangka khusus untuk memperkukuh pemahaman peserta dalam aspek epistemologi Islam serta melengkapkan mereka dengan kemahiran pemikiran masa hadapan (futures thinking) yang strategik dalam menghadapi cabaran masyarakat, teknologi, dan tadbir urus.
Majlis perasmian penutup program ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Y.Bhg. Dr. Mohd. Faridh Hafez bin Mohd Omar ini telah diadakan bertempat di Al-Sakinah Resort, Janda Baik, Pahang.
Kejayaan program ini merupakan hasil sinergi erat antara penganjur utama iaitu Institut Sains Islam (ISI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Centre for Islam in the Contemporary World (CICW) Malaysia, dengan kerjasama strategik Yayasan Taqwa MAIWP. Kolaborasi ini bertujuan memajukan inisiatif serantau berkaitan literasi masa hadapan, pembangunan kepimpinan belia, serta wacana ketamadunan Muslim kontemporari yang lebih dinamik.
Turut hadir melalui majlis perasmian penutup program adalah Pengarah Contemporary World (CICW) Malaysia, Y.Bhg. Hilman Fikri Azman, serta Dekan Institut Sains Islam (ISI), USIM, Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Norfadhilah Mohd Ali. Kehadiran para tokoh akademik dan kepimpinan ini memperlihatkan keseriusan semua pihak dalam membina jaringan intelektual yang mampan di peringkat rantau Asia Tenggara melalui platform dialog dan perkongsian ilmu.
Selain daripada aspek teori, program ini turut menekankan elemen refleksi bersama mengenai masa depan ummah serta peranan belia dalam membentuk dunia yang lebih beretika dan lestari. Melalui penglibatan strategik ini, peserta didedahkan kepada analisis isu-isu geopolitik dan perubahan landskap global yang memerlukan pemikiran kritis untuk memastikan peranan umat Islam kekal relevan dalam arus kemodenan.
Yayasan Taqwa MAIWP akan terus melestarikan sokongan terhadap program-program yang memartabatkan ilmu dan kepimpinan belia demi menjamin kesejahteraan ummah serta pembangunan modal insan yang cemerlang di masa hadapan.















