Ithbat KAFA Pratahfiz 2026

/ / Pendidikan
28 Oktober 2026, Melaka Tengah – Pendidikan Al-Quran bagi murid-murid di bawah program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Pratahfiz terus diperkasa dengan berlangsungnya Majlis Pengumuman Keputusan Ithbat KAFA Pratahfiz 2026 yang menyaksikan kejayaan pembangunan modal insan rabbani.
 
Program pengajian hafazan Al-Quran bagi murid KAFA Pratahfiz ini dirancang khusus dengan matlamat utama untuk melahirkan murid yang bukan sahaja berkemampuan menghafaz juzuk 30, malah mampu mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian secara istiqamah.
 
Langkah ini merupakan strategi jangka panjang dalam membangunkan generasi rabbani yang bakal menjadi pelapis kepimpinan ummah yang profesional serta berketerampilan dalam kepelbagaian bidang dan disiplin ilmu.
 
Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertempat di SRA JAIM Tanjung Minyak 2, Melaka Tengah, Melaka. Dalam majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan penyampaian sijil keputusan dan sumbangan kepada seramai 80 orang pelajar KAFA sebagai tanda pengiktirafan kepada pencapaian pelajar.
 
Kejayaan penganjuran ini merupakan hasil manifestasi sinergi strategik antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku penganjur utama dengan kerjasama erat daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta sokongan padu daripada Yayasan Taqwa-MAIWP. Kolaborasi antara agensi ini membuktikan komitmen jitu dalam memartabatkan syiar Islam melalui pengukuhan institusi pendidikan agama di peringkat akar umbi.
 
Majlis turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi antaranya YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Bin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); YBrs. Puan Noorhafizah binti Ibrahim, Pemangku Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka; YBrs. Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP; serta YBrs. Puan Norhalina binti Othman, Pengarah Bahagian Pendidikan JAKIM. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan persekutuan dan negeri, para ibu bapa, serta pelajar yang diraikan.
 
Mesej utama yang ditekankan melalui program ini adalah untuk memberi impak yang mendalam kepada komuniti dalam melahirkan generasi yang seimbang. Keberhasilan murid dalam menguasai hafazan juzuk 30 pada usia muda diharapkan dapat menjadi benteng peribadi dan inspirasi kepada masyarakat untuk terus mendampingi Al-Quran sebagai panduan hidup yang syumul.
 
Yayasan Taqwa-MAIWP terus menyatakan komitmen berterusan untuk menyokong agenda pendidikan Islam di bawah teras pendidikan demi melahirkan generasi rabbani yang berkualiti untuk negara.