Misi Bantuan Banjir di Terengganu

/ / Kebajikan
05 – 06 Januari 2025, Kemasik dan Kuala Berang – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Yayasan Taqwa-MAIWP telah menyalurkan bantuan berjumlah keseluruhan RM 61,500.00 bagi misi bantuan pasca banjir di Terengganu.
 
Bantuan yang diberikan berupa toto, selimut, kain pelikat dan kain batik untuk disumbangkan kepada mangsa banjir. Di samping itu, bantuan bakul makanan dan pemeriksaan kesihatan yang disediakan oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan Hospital Pusrawi juga telah disalurkan kepada mangsa-mangsa yang memerlukan.
 
Misi Bantuan Pasca Banjir Skuad Musa’adah Al Falah Madani, yang diketuai oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menjalankan pelbagai aktiviti membantu dalam kerja-kerja pembersihan di beberapa lokasi yang terjejas. Skuad Musa’adah Al Falah Madani juga menerima kerjasama yang baik daripada pemimpin komuniti dan penduduk di Kemasik dan Kuala Berang.
 
Bantuan sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), YBrs. En Mohd Fauzi Bin Abidin, turut diiringi oleh wakil-wakil anak syarikat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
 
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Yayasan Taqwa-MAIWP berharap agar sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mangsa banjir serta menzahirkan semangat solidariti dan kebersamaan kepada mereka yang terkesan.