SKUAD IHSAN MADANI (Hal Ehwal Agama) TERUSKAN BANTUAN PASCA BANJIR DI PADANG MIDIN
Padang Midin, Kuala Terengganu –Selepas selesai pelaksanaan program dan agihan bantuan di lokasi pertama di Sekolah Kebangsaan Kampung Besut, Setiu, rombongan Skuad Ihsan Madani (Hal Ehwal Agama) meneruskan perjalanan ke lokasi kedua iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin bagi menyantuni mangsa banjir dan pelajar yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negeri Terengganu.
Di lokasi kedua ini, Yayasan Taqwa MAIWP telah menyalurkan bantuan berbentuk keperluan asas dan pendidikan melibatkan 110 unit toto bernilai RM7,700.00 serta bantuan set pakaian dan kelengkapan persekolahan bernilai RM20,130.00 kepada 110 orang pelajar. Secara keseluruhan, jumlah sumbangan yang diagihkan oleh Yayasan Taqwa di lokasi ini adalah sebanyak RM27,830.00.
Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan mangsa banjir dan pelajar yang terjejas terus diberi perhatian.
Selain sumbangan tersebut, agensi-agensi lain yang terlibat dalam Skuad Ihsan Madani (Hal Ehwal Agama) turut menyumbang pelbagai bentuk bantuan antaranya bakul makanan, wang tunai, selimut serta keperluan asas lain, bagi memastikan kebajikan mangsa banjir dapat disantuni secara menyeluruh dan berkesan.
Majlis ini turut dihadiri dan diiringi oleh YBhg. Tuan Haji Zabidi bin Nasan, Ketua Pengarah YAPEIM; YBhg. Tuan Mohd Fauzi Abidin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP; YBhg. Tuan Haji Abdullah Zuhdee bin Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP; YBhg. Tuan Haji Nor Mukshar Harun, Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Pemasaran Digital PPZ-MAIWP; YBhg. Tuan Kamal Nazmi Kamaruddin, Pengarah YADIM Negeri Terengganu serta YBhg. Tuan Jawahil Abdullah, Pegawai Pendidikan Daerah Setiu.
Misi ini akan diteruskan ke lokasi-lokasi seterusnya bagi memastikan tiada golongan terjejas yang tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.














