PROGRAM SEHARI BERSAMA KOMUNITI SEBATI MADANI 2026
7 Januari 2026, Pasir Puteh – Program Sehari bersama Komuniti SEBATI MADANI telah berjaya menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, NGO serta komuniti setempat dalam satu platform kebersamaan berteraskan pendekatan whole-of-community.
Program ini menyajikan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan terus kepada rakyat termasuk penyampaian Bakul MADANI, Back To School, Kenduri Rakyat, Jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan percuma, JPJ Mobile, Van MEKAR JPN, forum keselamatan dan pendidikan, pertandingan komuniti serta persembahan Dikir Barat MADANI.
Program Sebati Madani turut dirasmikan oleh YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bertempat di Perkarangan SK Panggong, Pasir Puteh, Kelantan.
Dalam majlis yang sama, Yayasan Taqwa MAIWP turut menyalurkan bantuan dengan jumlah keseluruhan RM46,600 merangkumi sumbangan kepada Surau Sekolah Kebangsaan Panggong berjumlah RM5,000, sumbangan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2026 kepada 150 pelajar Sekolah Kebangsaan Panggong sebanyak RM27,450 dan kepada 50 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Selising berjumlah RM9,150, serta sumbangan bakul makanan kepada guru-guru pondok Negeri Kelantan bernilai RM5,000.
Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh YB Senator Puan Marhamah binti Rosli serta diiringi oleh Tuan Haji Abdullah Zuhdee bin Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Yang Berusaha Puan Yusnita binti Muhamed Yusoff, Pengarah YADIM Negeri Kelantan dan Yang Berusaha Puan Hajah Siti Norina binti Muhamad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.













