Bantuan Persekolahan SK Pulau Mabul

/ / Pendidikan
Pulau Mabul, 25 Januari – Pada hari ini, Program Santuni Komuniti Madani YB. Menteri dan Agensi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) “Back To School” bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Mabul telah diadakan dengan jayanya. Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini bertujuan untuk menyuntik semangat dan motivasi kepada para pelajar bagi menghadapi sesi persekolahan yang baharu.
 
Majlis telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Mohammad Bin S.Ahmad, Pengerusi Yayasan Taqwa-MAIWP, dif-dif kehormat, para pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Semporna, para pelajar, dan ibu bapa penerima sumbangan.
 
Dalam ucapan perasmiannya, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar menyatakan, “Sumbangan persekolahan ini adalah satu inisiatif dan galakan kepada para pelajar untuk hadir ke sekolah dan merupakan satu usaha bagi meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan persiapan kelengkapan persekolahan anak-anak bagi sesi persekolahan yang baharu”
 
Turut diadakan melalui majlis ini adalah penyampaian replika cek sumbangan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2025, Sekolah Kebangsaan Pulau Mabul dan replika cek sumbangan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2025, Kawasan Semporna. Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian simbolik sumbangan kepada para pelajar, diikuti dengan sesi bergambar. Para pelajar dan ibu bapa mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang dan menyokong program ini.