
30 Disember 2023, Pahang – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Yayasan Taqwa MAIWP menyalurkan bantuan sumbangan kepada mangsa musibah banjir di kawasan Jerantut dan Raub Pahang.
Program Misi Bantuan Agensi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Daerah, YaPEIM, JAWI, Tabung Haji (TH), Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Negeri Pahang (MUIP) serta Yayasan Taqwa (mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) menyantuni seramai 156 orang mangsa banjir di sekitar Jerantut dan Raub. Bantuan meliputi wang tunai, barangan keperluan asas, kit ibadah, selimut tebal (toto) dan sebagainya.
Turut diadakan majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir yang disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar dan diringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa – MAIWP, Ybhg Tn Hj Zabidi Bin Nasan serta ketua-ketua agensi yang terlibat.
YB Senator Dato’ turut mendoakan mangsa banjir di Jerantut dan Raub agar dikurniakan kesabaran diatas ujian yang diterima ini, semoga Allah memberi ganjaran yang lebih baik.
Semoga dengan penyampaian sumbangan ini dapat meringankan beban mangsa-mangsa yang terlibat.
“Sebaik baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain” – (HR Ahmad, ath-Thabrani, ad-Daruqutni)