30 Jun 2026, Pasir Gudang – Yayasan Taqwa MAIWP terus memperkukuh komitmen dalam memperkasakan agenda pendidikan melalui penganjuran Program Himpunan Anak Muda Peringkat Negeri Johor yang diadakan bertempat di Dewan Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor. Program ini menjadi wadah penting dalam membina kesatuan fikrah dan amal bagi memartabatkan agama Islam di Malaysia seiring dengan gagasan Malaysia Madani.
Program ini dirancang khusus untuk menyantuni golongan belia dengan pelbagai aktiviti pengisian ilmu dan jati diri yang berteraskan nilai-nilai murni bagi mendepani cabaran masa hadapan serta memperkukuh peranan mereka dalam pembangunan negara.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang turut menyaksikan penyampaian gimik sumbangan berjumlah RM10,000 bagi Sumbangan Pengimarahan dan Aktiviti Masjid Politeknik Ibrahim Sultan sebagai simbolik sokongan padu terhadap kebajikan dan kelangsungan pendidikan para pelajar di negeri Johor.
Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini merupakan manifestasi sinergi strategik yang melibatkan kerjasama erat daripada pelbagai agensi termasuk Yayasan Taqwa MAIWP, YAPEIM, IKIM, TV Alhijrah, Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan objektif pemerkasaan anak muda tercapai secara inklusif.
Kehadiran tetamu kehormat turut menyerikan majlis tersebut termasuk YM. Tengku Nadzion bin Tengku Ibrahim, Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Pasir Gudang, Y.Bhg. Tn. Haji Zamri bin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Y.Bhg. Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, serta Y.Bhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM bersama para pelajar dari pelbagai institusi.
Dalam ucaptama perasmian, YB Menteri menekankan kepentingan anak muda sebagai aset negara yang perlu dibekalkan dengan pegangan agama yang kukuh serta semangat perpaduan yang jitu bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara yang harmoni dan berdaya saing. Impak program ini dijangka dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah mempunyai akhlak yang terpuji serta kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab sosial dalam mendepani realiti masyarakat hari ini.
Yayasan Taqwa-MAIWP akan terus komited dalam menyokong setiap inisiatif pendidikan dan pembangunan modal insan yang mampu memberikan impak positif serta mampan kepada kesejahteraan ummah di seluruh negara.

















