Intensif Celik Al-Quran

/ / Dakwah
13 – 15 Disember 2024, Ayer Keroh, Melaka – Yayasan Taqwa-MAIWP dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah menganjurkan Program Intensif Celik Al-Quran Bersama Saudara Baru di Negeri Melaka 2024 bertempat di Amverton Heritage Resort, Melaka.
 
Program ini telah disertai seramai 80 orang saudara baru di sekitar negeri Melaka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur. Majoriti adalah daripada saudara baru Cina, India, Indonesia dan lain – lain kaum.
 
Program ini menggunakan teknik bacaan al-Hira’ (24 jam boleh membaca al-Quran) yang memfokuskan kepada 13 bab pelajaran dan alhamdulillah lebih daripada separuh peserta berjaya menguasai teknik dan kaedah ini di akhir program. Para peserta dibahagikan kepada lapan kumpulan yang diketuai dan dibimbing oleh seorang fasilitator yang berpengalaman dalam mengajar teknik al-Hira’ ini.
 
Program telah disempurnakan oleh Tuan Shaifulfazlee bin Mohamad, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Turut hadir ialah Tuan Hj Abdul Aziz bin Abd. Jalal, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa-MAIWP dan Ustaz Muhammad Syawal Bin Sa’ad, Pengarah Urusan Celik Al-Quran Centre (CQC) merangkap konsultan yang dilantik untuk mengajar teknik al-Hira’ ini.
 
Rata-rata peserta memberikan respons yang positif berkenaan teknik al-Hira’ ini dan mengganggap teknik ini lebih mudah untuk difahami dan boleh digunakan di pelbagai peringkat umur. Beberapa orang peserta terbaik telah dipilih berdasarkan potensi dan prestasi yang dinilai oleh fasilitator serta mereka yang berjaya menghabiskan dan memahami teknik ini dengan baik.
 
Semoga program seumpama ini dapat mendorong para saudara baru mempelajari al-Quran dengan lebih baik dan dapat membantu dalam memperbaiki bacaan dari semasa ke semasa. Insya Allah.