Perkasa Infrastruktur Pendidikan di Behrang

/ / Pendidikan
12 September 2026, Behrang – Yayasan Taqwa MAIWP terus komited dalam memperkasakan institusi pendidikan Islam melalui penyaluran sumbangan kewangan bagi menaik taraf kemudahan pembelajaran di Madrasah Al-Falahiah, Felda Sungai Behrang, Perak.
 
Program ini merupakan inisiatif penting di bawah Teras Pendidikan bagi membantu menyalurkan sumbangan kewangan untuk pembelian meja dan kerusi pelajar yang telah rosak. Usaha ini adalah bertujuan bagi memastikan para pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran dalam suasana yang lebih selamat, selesa dan kondusif demi kecemerlangan akademik dan sahsiah.
 
Majlis serahan cek cura tersebut telah disaksikan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Melalui majlis ini, Yayasan Taqwa-MAIWP telah menyumbangkan peruntukan berjumlah RM20,000 khusus untuk pemulihan infrastruktur bilik darjah di madrasah berkenaan. Pihak sekolah turut menyampaikan taklimat dan membawa YB Menteri untuk melihat sekitar kawasan Madrasah yang turut mengalami kerosakan.
 
Hadir sama bagi menyaksikan majlis penuh bermakna ini ialah Y. Bhg. Encik Mohd. Shamikhairul Fadly Bin Samsudin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa MAIWP, Y.Bhg. Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Y.Bhg. Encik Mohammad Zaidi Bin Zainal, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Madrasah Al-Falahiah serta Y.Bhg. Puan Nurul Wafa Binti Mahmud, Penolong Kanan Pentadbiran Madrasah Al-Falahiah.
 
Sumbangan ini bukan sekadar bantuan fizikal, malah merupakan simbol keprihatinan kerajaan dalam menyantuni keperluan institusi pendidikan agama selari dengan teras Ihsan dalam Malaysia Madani. Impak daripada bantuan ini dijangka akan meningkatkan motivasi pelajar dan guru-guru untuk terus komited dalam memartabatkan syiar Islam melalui jalur pendidikan.
 
Pihak madrasah dan guru-guru yang hadir turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan ini yang secara langsung membantu menyelesaikan masalah kekurangan prasarana yang dihadapi oleh pihak sekolah sejak sekian lama.
 
Yayasan Taqwa MAIWP akan terus melipatgandakan usaha dalam menyalurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan, demi kelestarian pendidikan Islam dan kesejahteraan ummah secara keseluruhannya selari dengan aspirasi Malaysia Madani.