Program Gerak Bakti MADANI

/ / Dakwah
10 Mei 2026, Batang kali – Program Gerak Bakti MADANI: Mahasiswa Menyumbang, Masyarakat Berkembang telah berjaya dilaksanakan di Kampung Orang Asli Hulu Tamu, Batang Kali, Selangor dengan penglibatan mahasiswa, agensi kerajaan serta komuniti setempat dalam usaha memperkukuh semangat kebersamaan dan pembangunan Masyarakat selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
 
Program tersebut telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menekankan kepentingan penglibatan golongan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan sebagai medium membentuk nilai kepimpinan, kesukarelawanan dan keprihatinan sosial. Program ini merupakan usaha sama mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
 
Pelbagai aktiviti dan pengisian telah dilaksanakan sepanjang program tersebut berlangsung termasuk gotong-royong, ceramah demostrasi penentuan arah kiblat, pemeriksaan kesihatan,ziarah kasih MADANI rumah ke rumah serta diserikan dengan perlawanan bola sepak bersama penduduk orang asli.
 
Selain itu seramai 200 orang Ketua Isi Rumah (KIR) telah menerima Sumbangan Bakul Rahmah sebagai usaha membantu meringankan beban dan menyantuni komuniti yang memerlukan. Yayasan Taqwa -MAIWP turut menyampaikan sumbangan bagi pengimarahan dan aktiviti Musolla Muflihun Kampung Orang Asli Hulu Tamu. Sumbangan ini penting demi memperkasakan aktiviti keagamaan dan pembangunan komuniti setempat.
 
Turut hadir dalam program tersebut adalah YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Hj. Mohamad Isa, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) USIM, YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, YBrs. Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa -MAIWP dan wakil- wakil dari agensi Negeri dan Persekutuan.
 
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik pelbagai pihak melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Pusat Pungutan Zakat -PPZ MAIWP, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Persekutuan Seruan Islam (JAM’IYAH), CSR Brand dan beberapa lagi NGO yang terlibat.
 
Semoga dengan penganjuran program sebegini diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan komuniti khususnya Masyarakat Orang Asli serta dapat menyemai semangat Malaysia MADANI dalam kalangan generasi muda dan masyarakat secara keseluruhannya.