
23 Oktober, Kuching – Yayasan Taqwa -MAIWP menyalurkan dana bantuan yang berjumlah keseluruhan RM100,000 kepada 9 Institusi badan bukan kerajaan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad turut merasmikan majlis dan menyaksikan penyerahan replika cek daripada Pengerusi Yayasan Taqwa -MAIWP, Dato’ Haji Razali bin Shahabudin kepada 9 wakil Institusi badan bukan kerajaan sebagai simbolik penyerahan sumbangan. Majlis penyerahan replika cek ini berlangsung di Maahad Tahfiz Husnul Khotimah, Kampung Semerah Padi.
YB Menteri juga berkata, walaupun sumbangan yang disampaikan ini tidak menyelesaikan kesemua masalah penerima, akan tetapi semoga sumbangan ini dapat menyuntik kegembiraan kepada penerima, Insyallah.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaime, Pengerusi Maahad Tahfiz Husnul Khotimah, Tuan Haji Sulaiman bin Haji Hasim, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Darul Husnul Khotimah, Tuan Haji Shaari bin Mohd Ali dan Wakil- wakil pertubuhan bukan kerajaan.
Maahad Tahfiz Husnul Khotimah juga adalah dibawah naungan Pertubuhan Prihatin Tunas Insan Sarawak (PUITIS) dan sehingga kini mempunyai 40 pelajar.
Dana sumbangan kepada Institusi badan bukan kerajaan ini juga disalurkan bagi melancarkan aktiviti-aktiviti kebajikan dan pendidikan yang dijalankan oleh pihak Institusi tersebut. Aktiviti yang dijalankan seperti sumbangan bakul makan, peralatan pesakit, bantuan pelajaran, bantuan meringankan beban kategori B40 dan sumbangan kepada asnaf disekitar daerah Kuching.
Semoga sumbangan yang disalurkan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.