Sambutan Maal Hijrah di SRA Jaim Serkam Darat

/ / Pendidikan
24 Jun 2026, Merlimau – Yayasan Taqwa-MAIWP memperkukuh agenda pendidikan melalui Sambutan Maal Hijrah di Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Serkam Darat bagi menghayati sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah.
 
Peristiwa Maal Hijrah yang disambut saban tahun merupakan simbol perubahan, pengorbanan, dan keazaman dalam membentuk masyarakat Islam yang lebih cemerlang. Ia bukan sekadar peralihan takwim malah merupakan titik tolak penting dalam pembinaan tamadun Islam yang mampan serta penyatuan masyarakat yang lebih utuh.
 
Program ini telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP. Sebagai tanda sokongan terhadap kelancaran program di bawah Teras Pendidikan ini, Yayasan Taqwa-MAIWP telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM7,350.
 
Penganjuran yang diterajui oleh Sekolah Rendah Agama JAIM Serkam Darat ini bertujuan untuk memupuk semangat hijrah serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian murid-murid. Inisiatif ini membuktikan sinergi yang erat antara pihak sekolah dan yayasan dalam memastikan pengisian kerohanian sampai kepada golongan sasar di peringkat akar umbi.
 
Turut hadir, Y.Bhg. Puan Rozaini binti Shamsudin, Ketua Penyelia Pendidikan Daerah Jasin, Y.Bhg. Ustaz Abdullah bin Long, YDP PIBG SRA JAIM Serkam Darat, Y.Bhg. Ustazah Suraya binti Abdullah, Guru Besar SRA JAIM Serkam Darat, guru-guru dan para pelajar yang diraikan.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Mohd Faridh Hafez menekankan kepentingan pengisian aktiviti bermanfaat bersama keluarga dalam mendepani cabaran mendidik anak-anak masa kini. Perkembangan sahsiah anak-anak perlu dibentuk dengan acuan yang betul agar mereka membesar sebagai muslim sejati yang mampu memberikan impak positif kepada masyarakat sekeliling.
 
Yayasan Taqwa-MAIWP akan terus melangkah proaktif dalam memastikan bantuan dan program di bawah Teras Pendidikan terus diperkasa bagi melahirkan modal insan yang berkualiti, bertaqwa, dan berdaya saing.