23 Februari 2026, Kajang – Yayasan Taqwa telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) dalam Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Siri Dokumentari Kembara Wahyu Mesir anjuran RareTV.
Sumbangan ini bertujuan membantu menampung keperluan kebajikan anak-anak di bawah jagaan RPWP termasuk sokongan dalam aspek pendidikan, pembangunan sahsiah serta kesejahteraan harian mereka.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha pelbagai pihak dalam memperkasa penyebaran ilmu serta nilai dakwah melalui pendekatan kreatif dan medium visual yang lebih dekat dengan masyarakat. Turut hadir ialah YBhg. Tuan Haji Abdullah Zuhdee bin Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP serta pengasas bersama RPWP, warga RPWP dan para tetamu jemputan.
Pelaksanaan program ini bukan sahaja mengimarahkan suasana Ramadan melalui aktiviti berbuka puasa bersama, malah menjadi platform dalam memperkukuh kerjasama strategik antara institusi kebajikan, agensi serta penggiat media bagi menyampaikan mesej pendidikan dan nilai kemanusiaan kepada masyarakat umum.
Diharapkan sumbangan ini memberi manfaat kepada para penerima serta menjadi asbab kebaikan yang berpanjangan kepada semua pihak yang terlibat.












