23 April 2026, Pengkalan Chepa – Ujian berat menimpa Saudara Amirul apabila beliau terpaksa menjalani amputasi kaki akibat penyakit gangren yang berkaitan saraf. Kehilangan tersebut bukan sekadar fizikal, malah mengubah keseluruhan rutin kehidupan beliau sebagai ketua keluarga.
Sebelum ini, beliau menyara kehidupan bersama seorang anak dengan bekerja sebagai kelindan lori. Namun, di sebalik ujian yang besar ini, semangatnya tidak pernah pudar. Saudara Amirul terus berusaha mencari rezeki melalui platform TikTok dengan menjalankan perniagaan secara affiliate, membuktikan bahawa keterbatasan bukan alasan untuk berhenti berjuang.
Prihatin dengan keadaan beliau, Yayasan Taqwa MAIWP telah menyalurkan bantuan sebuah kerusi roda elektrik bagi memudahkan pergerakan harian. Selain itu, beliau turut menerima sokongan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan.
Penyerahan bantuan ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah binti Rosli. Turut hadir mengiringi, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Tuan Haji Abdullah Zuhdee bin AB Halim, serta Pengarah YADIM Kelantan, Puan Yusnita binti Muhamed Yusoff.
Semoga sumbangan ini bukan sahaja memudahkan urusan pergerakan beliau, malah menjadi penyuntik semangat untuk terus bangkit meneruskan kehidupan. Dalam setiap ujian, pasti ada ruang harapan dan dalam setiap kesusahan, ada tangan-tangan yang sudi membantu.









