28 April 2026, Sandakan – Komitmen memperkasa kesejahteraan komuniti terus dizahirkan menerusi program Ziarah Kasih Madani & Ramah Mesra Komuniti yang berlangsung di Pulau Berhala, Sandakan.
Lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Bin Hasan menjadi titik tumpu utama dalam menyantuni masyarakat setempat, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi-agensi berkaitan.
Program ini berjaya dilaksanakan hasil sinergi strategik antara YAPEIM, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP, Yayasan Taqwa MAIWP, YADIM, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Belia Usia Bahagian Sandakan (USIA) yang masing-masing memainkan peranan penting dalam agenda pembangunan ummah.
Dalam majlis tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Bin Hasan turut menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan berjumlah RM20,000, merangkumi RM10,000 daripada Yayasan Taqwa MAIWP dan RM10,000 daripada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP bagi menyokong usaha pengimarahan masjid serta pelaksanaan program keagamaan komuniti setempat.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pengarah JAKIM, YBhg Dato’ Dr. Sirajuddin Bin Suhaime, Pengarah YADIM, YBrs. Tuan Mohd Tablin Bin Sahri, Pengarah YAPEIM, YBrs. Tuan Selabi Bin Muhammad, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, YBrs. Tuan Haji Abdullah Zuhdee Bin Ab Halim, Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM, Dr. Muhammad Yamin Bin Ismail, Pengarah Tabung Haji Sabah, Datuk Hajah Nurlaila Binti Said, serta Pengurus MAIWP Cawangan Labuan, Tuan Mohd Rafie Bin Zakaria.
Program ini bukan sekadar penyampaian sumbangan, tetapi membawa mesej jelas bahawa kehadiran kerajaan dan agensi agama sentiasa dekat dengan rakyat, khususnya komuniti luar bandar dan kepulauan.
Pendekatan turun padang ini membuktikan bahawa usaha membina ummah tidak hanya tertumpu di bandar, tetapi turut menyentuh akar masyarakat, memastikan tiada yang tercicir daripada arus pembangunan rohani dan sosial. Semoga sumbangan ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan institusi masjid sebagai pusat ibadah, ilmu dan penyatuan komuniti.


















