Bantuan Persekolahan Kawasan Balik Pulau

/ / Pendidikan
Balik Pulau, 8 Februari – Seramai 165 orang pelajar telah menerima manfaat melalui pelaksanaan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2025, Kawasan Balik Pulau anjuran Pertubuhan Jom Kongsi Rezeki Pulau Pinang. Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2025, Kawasan Balik Pulau yang diadakan bertempat di Dewan Utama, Sekolah Kebangsaan Balik Pulau ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Balik Pulau, Yang Berhormat Dato’ Haji Muhammad Baktiar Wan Chik.
 
Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa-MAIWP, Y.Bhg Tuan Suhaili Bin Mohd Yusoff, Pengerusi Pertubuhan Jom Kongsi Rezeki Pulau Pinang, Y.Bhg Encik Md Rashid Hasan, Timbalan Pegawai PPD Barat Daya, Y.Bhg Che Mazlan Che Mat, Guru Besar SK Balik Pulau, Y.Bhg Encik Muhd. Nazri Othman dan para pelajar penerima sumbangan serta ibu bapa yang diraikan.
 
Melalui ucapannya, Ahli Parlimen Balik Pulau turut berpesan kepada para ibu bapa yang hadir tentang kepentingan pendidikan kepada anak-anak bagi memastikan masa hadapan yang lebih cerah. Beliau juga berharap agar sumbangan yang disalurkan pada hari ini, sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada ibu bapa dalam menyiapkan persiapan persekolahan anak-anak bagi sesi persekolahan yang baharu. Para ibu bapa pelajar meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diberikan.