AMPANG, 1 Ogos 2026 – Program MADANI Kita Bersama-Sama Komuniti Bukit Belacan anjuran Unit Lonjakan Prestasi, Pejabat Perdana Menteri (PACU) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjadi platform memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih dekat, pantas dan menyeluruh selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Kampung Melayu Ampang.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah Rosli, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Is. Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar barisan ketua jabatan dan ketua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, serta wakil-wakil agensi kerajaan, badan berkanun dan rakan strategik yang bersama-sama menjayakan program ini.
Menghimpunkan lebih 30 agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, badan berkanun dan rakan strategik, program ini menawarkan pelbagai perkhidmatan secara terus kepada masyarakat di bawah satu bumbung. Antara inisiatif yang mendapat sambutan ialah Jualan Rahmah, Agro MADANI, pertukaran topi keledar lama secara percuma, pertukaran minyak hitam motosikal, gunting rambut percuma, Al-Quran Exchange, pemeriksaan kesihatan percuma serta pelbagai lagi perkhidmatan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Pada majlis tersebut, Tabung Musa’adah JAKIM – Yayasan Wakaf Malaysia telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM99,500 kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung bagi menyokong pelaksanaan keseluruhan program, sekali gus memperkukuh agenda kebajikan dan pembangunan komuniti secara bersepadu.
Yayasan Taqwa MAIWP turut menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Rendah Agama Kampung Melayu Ampang sebagai sokongan berterusan terhadap usaha memperkasa institusi pendidikan Islam. Inisiatif ini mencerminkan komitmen Yayasan Taqwa dalam memperkukuhkan ekosistem pendidikan yang berkualiti serta melahirkan generasi berilmu dan berakhlak.
Dalam masa yang sama, Yayasan Taqwa turut melaksanakan REVTAQ (Revive Yayasan Taqwa), sebuah program khidmat komuniti yang menyediakan perkhidmatan asas secara percuma seperti gunting rambut dan servis penukaran minyak hitam motosikal kepada golongan asnaf, B40, anak yatim, keluarga berpendapatan rendah, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Program ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban kos sara hidup penerima manfaat, malah menyemarakkan budaya kesukarelawanan, memperkukuh hubungan antara agensi dan masyarakat serta menyuburkan semangat kebersamaan dalam komuniti.
Penyertaan Yayasan Taqwa MAIWP melalui sumbangan kepada institusi pendidikan Islam dan pelaksanaan REVTAQ membuktikan komitmen berterusan yayasan dalam memperkasa kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Diharapkan inisiatif ini akan terus menjadi platform kebajikan yang mampan dan berimpak tinggi, sekali gus mengukuhkan peranan Yayasan Taqwa sebagai peneraju program kemasyarakatan yang menyantuni rakyat serta menyokong aspirasi Malaysia MADANI.





























