Himpunan Asatizah Muda (HAMKA) Peringkat Negeri Kedah

/ / Pendidikan
09 Jun 2026, Sungai Petani – Penganjuran Program Himpunan Asatizah Muda (HAMKA) Peringkat Negeri Kedah 2026 menjadi wadah penting dalam membina kesatuan fikrah dan amal bagi memartabatkan agama Islam di Malaysia seiring dengan gagasan Malaysia Madani.
 
Program ini bermatlamat untuk mengetengahkan tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang berkaliber dengan membawa pendekatan Islam yang sederhana dan rahmah. Usaha ini dilihat kritikal dalam membentuk jaringan (networking) yang lebih luas di kalangan para asatizah dan agamawan bagi menyumbang kepada pembangunan peradaban negara yang lebih inklusif dan mampan.
 
Program ini turut menyaksikan sinergi antara agensi dalam memastikan kelancaran pengisian yang berimpak tinggi kepada para peserta dan mahasiswa. Antara pengisian utama dalam program ini adalah, Ucap Utama: Masa Depan Islam di Malaysia, Kuiz Madani, Sesi Borak Buddies, Slot Bicara Ekonomi, Sesi Town Hall & Perasmian Penutupan Himpunan Asatizah Muda (HAMKA) yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq bin Johari, Menteri Belia dan Sukan.
 
Kejayaan program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Belia dan Sukan, serta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Kerjasama erat ini turut didukung oleh Yayasan Taqwa MAIWP, YAPEIM, IKIM, TV Alhijrah, Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
 
Majlis tersebut telah dihadiri oleh barisan kepimpinan utama termasuk Y.Bhg. Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Y.Bhg. Dr. Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia dan Y.Bhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM. Turut hadir ialah Y.Bhg. Ustaz Amir Zuhair bin Abdull Khalid, Pengerusi Daie MADANI, para pelajar dan mahasiswa dari pelbagai negeri.
Penganjuran HAMKA 2026 ini dijangka memberi impak yang signifikan kepada komuniti melalui penyebaran fikrah yang jernih. Melalui platform ini, para asatizah muda digesa untuk lebih proaktif dalam mendepani cabaran semasa dan menjadi jambatan penghubung antara ilmu wahyu dan realiti kehidupan masyarakat hari ini bagi memastikan kesejahteraan ummah terpelihara.
 
Yayasan Taqwa MAIWP akan terus komited dalam menyokong agenda pendidikan dan dakwah bagi memastikan kelestarian pembangunan insan yang syumul di seluruh negara.