MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN PERSEKOLAHAN 2019, PERINGKAT NEGERI N. SEMBILAN , KAWASAN PORT DICKSON

/ / Pendidikan

Seramai 700 orang pelajar sekolah rendah daripada keluarga yang kurang berkemampuan di kawasan Port Dickson, Negeri Sembilan telah menerima bantuan persekolahan sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Persekolahan 2019, peringkat Negeri N.Sembilan, kawasan Port Dickson yang telah diadakan pada 13 Januari 2019 bertempat di Dewan Wawasan, Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan. Program anjuran bersama Yayasan Taqwa (MAIWP) dan Pejabat Ahli Parlimen Port Dickson ini telah dirasmikan oleh Yang Behormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson. Turut hadir menyerikan majlis, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa (MAIWP), Dato’ Hj. Mustafa Bin Abdul Rahman, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa (MAIWP) dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Y.Bhg. Tuan Haji Abdul Aziz Bin Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa (MAIWP), Y.Bhg. Tuan Haji Zabidi Bin Nasan. Bagi Majlis Penyampaian Sumbangan Persekolahan Peringkat Negeri Sembilan pada kali ini, Yayasan Taqwa (MAIWP) telah menyumbangkan sumbangan berbentuk set pakaian dan peralatan persekolahan  kepada pelajar-pelajar yang terpilih yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Sumbangan ini diberikan bagi memastikan pelajar-pelajar tersebut belajar dalam keadaan yang lebih selesa dengan pakaian baru. Selain itu juga, ia juga bagi membantu pelajar-pelajar berkenaan berjaya di alam persekolahan dan menjadi insan yang berguna pada masa hadapan kelak bagi membantu keluarga mereka keluar dari kepompong kemiskinan.