Pada 13 Mei 2019, Yayasan Taqwa (MAIWP) dan Persatuan Mahasiswa Prihatin dengan kerjasama Pusat Islam UKM telah menganjurkan Majlis Pelancaran Program Food For Mahasiswa (FFM) 2019 bertempat di Masjid Universiti UKM. Majlis ini telah diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berbahagia S.S. Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa (MAIWP) yang berbesar hati untuk hadir serta merasmikan majlis tersebut. Turut hadir, Yang Berbahagia Tuan Haji Zabidi Bin Nasan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa (MAIWP), Yang Berbahagia Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A.Karim, Timbalan Naib Canselor HEPA UKM, Yang Berusaha Puan Wan Nur Ashiqin Binti Wan Mohamad, penasihat program FFM dan Saudara Muhammad Luqman Bin Saiful Izham yang mewakili Persatuan Mahasiswa Prihatin. Melalui program ini, sejumlah 200 pek makanan dan minuman diagihkan kepada mahasiswa UKM yang memerlukan setiap minggu (selama 24 minggu) bertempat di Pusaneka UKM yang digerakkan oleh urusetia daripada kalangan mahasiswa.
Di dalam ucapan Yang Berbahagia S.S. Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, beliau menekankan berkenaan tujuan utama program ini diadakan iaitu untuk meringankan beban kewangan mahasiswa dan melahirkan mahasiswa yang prihatin dan cakna terhadap isu-isu semasa terutamanya isu-isu yang berkaitan dengan golongan mahasiwa itu sendiri. Beliau turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan tahniah diatas kerjasama yang diberikan oleh Persatuan Mahasiswa Prihatin yang menggerakkan program ini dan Pusat Islam UKM yang menyediakan lokasi bagi majlis pelancaran. Di dalam majlis yang sama, Mufti Wilayah Persekutuan turut menyampaikan tazkirah sebelum majlis iftar perdana bersama hadirin dan hadirat yang hadir.