Pelancaran Pusat Penyelarasan Daie Madani

/ / Pendidikan
08 Jun 2026, Kuala Nerang – Usaha memperkasakan institusi pengajian pondok serta memartabatkan syiar Islam di Malaysia terus dipergiat melalui Majlis Pelancaran Pusat Penyelarasan Daie Madani Kedah dan Majlis Peluncuran Daurah Kitab Turath Islam yang berlangsung hari ini.
 
Program ini bermatlamat untuk memperkasakan institusi pengajian pondok sebagai pusat kecemerlangan ilmu selain membina kesatuan fikrah dan amal dalam usaha memartabatkan agama Islam di bumi Malaysia secara holistik. Peluncuran Daurah Kitab Turath ini juga dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan khazanah ilmu tradisi Islam terus dihayati oleh generasi masa kini dalam mendepani cabaran zaman.
 
Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Haji Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang turut meluangkan masa dalam sesi dialog bagi membincangkan hala tuju pendidikan Islam. Pada majlis yang sama, gimik penyerahan cek cura sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Yayasan Taqwa-MAIWP telah disalurkan kepada Pusat Tarbiah Pengajian Darul Hikmah dan Pusat Pengajian Ribat Annabawi bagi menyokong aktiviti pendidikan mereka.
 
Program berimpak tinggi ini merupakan anjuran Pusat Tarbiah dan Pengajian Darul Hikmah dengan kerjasama erat pihak Daie Madani. Sinergi strategik ini mencerminkan kebersamaan agensi agama dalam menyelaraskan gerak kerja dakwah yang lebih tersusun dan berkesan khususnya di negeri Kedah.
 
Majlis turut dihadiri oleh barisan kepimpinan utama antaranya Y.Bhg. Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP; Y.Bhg. Dr. Ahmad Mujahid bin Abdullah, Pengarah YADIM Kedah & Perlis; dan Y.Bhg. Ustaz Amir Zuhair bin Abdull Khalid, Pengerusi Daie MADANI. Turut memberikan sokongan adalah Y.Bhg. Tuan Guru Ustaz Mohd Shafiee bin Sulaiman, Mudir Darul Hikmah, bersama barisan asatizah serta para Daie MADANI.
 
Mesej utama program ini menekankan bahawa kualiti ummah bergantung kepada kekuatan ilmu dan tarbiah yang konsisten. Inisiatif ini diharap dapat memberi impak besar kepada komuniti setempat dalam melahirkan masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar melalui bimbingan para ulama dan asatizah.
 
Yayasan Taqwa-MAIWP menaruh harapan tinggi agar inisiatif ini menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan Islam yang lebih syumul dan menyatakan komitmen berterusan dalam menyokong agenda pemerkasaan institusi pondok di seluruh negara.