PROGRAM SKUAD KECEMERLANGAN AKADEMIK (SCAD) 2018, PERINGKAT NEGERI MELAKA

/ / Pendidikan

Pada 28 Julai 2018 yang lalu, Yayasan Taqwa (MAIWP) bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) telah menganjurkan Program Skuad Kecemerlangan Akademik (SCAD) 2018 bagi Peringkat Negeri Melaka yang telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Hj. Talib Karim, Alor Gajah, Melaka. Program sehari dan berkonsepkan “Smart Muslim Student’s Seminar” ini telah berjaya mengumpulkan seramai 390 pelajar dari beberapa buah sekolah di sekitar daerah Alor Gajah yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Program ini juga turut diselia oleh 20 orang guru pengiring bersama-sama 7 orang barisan fasilitator daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Antara objektif utama diadakan program SCAD ini adalah untuk membentuk generasi pelajar yang bermotivasi dan komited dalam meningkatkan kualiti dan kecemerlangan diri, membina tahap keyakinan yang tinggi dan dapat membentuk semangat berpasukan yang mantap dan penyayang selain dapat mendedahkan kepada masyarakat berkenaan peranan yang dimainkan oleh institusi zakat seperti Yayasan Taqwa (MAIWP) dalam membantu meningkatkan pencapaian akademik para pelajar Islam di seluruh negara. Majlis perasmian penutup program telah disempurnakan oleh Y.Bhg. En Mohd Ridwan Bin Abu Samah, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Rembau. Turut bersama menyerikan majlis, Y.Bhg. Tuan Haji Zabidi Bin Nasan, Pengurus Besar Yayasan Taqwa (MAIWP), dan Y.Bhg. Encik Mohd Adib Anas Bin Md. Nor, Ketua Penerangan GPMS Peringkat Kebangsaan.