Sumbangan Kepada Asnaf Sipitang

/ / Dakwah
06 Ogos 2022, Sipitang, Sabah- Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Asnaf Sipitang, Sabah telah disempurnakan oleh YB Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersempena Majlis Penyerahan Program Mobiliti TH 2022 bertempat di Masjid Imam Hj Awang Hashim Pekan Sipitang, Sabah. Majlis dimulakan dengan Kuliah Dhuha yang turut diserikan dengan kehadiran para guru-guru KAFA Daerah Sipitang serta penerima-penerima sumbangan.
 
Yayasan Taqwa-MAIWP telah memperuntukkan sumbangan sejumlah RM15,000.00 kepada 100 orang asnaf miskin dan muallaf yang masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM150.00 seorang.
 
Majlis penyampaian telah disempurnakan oleh YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan disaksikan oleh YBhg. Dato Haji Razali bin Shahabudin, Pengerusi Yayasan Taqwa-MAIWP, Datin Hjh Nurlaila binti Hj Said, Pengarah Wilayah TH Sabah & Sarawak dan YBrs. Tn Hj Yusdi Bin Haji Nasip, Pengarah TH Negeri Sabah. Turut hadir ialah YBrs. Tuan Sarudin bin Maidin, Wakil YB Adun N.35 Sindumin, YBrs. Tuan Daud bin Hj Kassim, Ketua Daerah, Mahkamah Anak Negeri Sipitang dan YBrs Encik Abdullah bin Awang Hadi, Pengerusi Masjid Imam Haji Awang Hashim. Majlis turut disempurnakan dengan Sumbangan Inspirasi Qaseh Kami oleh YaPEIM kepada Guru-Guru dan Pelajar KAFA.
 
Semoga sumbangan kecil ini dapat membantu para penerima menjalani kehidupan yang lebih baik dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Moga Allah berkati usaha ini.