Sumbangan Kepada Institusi Pondok Dan Maahad Tahfiz

/ / Pendidikan
KUALA LUMPUR, 22 Februari 2026 – YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada harini melancarkan Rakan Masjid x Rakan Muda Ramadan iaitu sebuah inisiatif untuk menghubungkan institusi Masjid dengan anak-anak muda. Beliau menyatakan inisiatif tersebut adalah selari dengan inspirasi Malaysia Madani yang menekankan pembangunan insan secara menyeluruh .
 
Melalui ucapannya, Perdana Menteri mahu institusi Masjid terus diperkasakan sebagai pusat pembangunan ummah serta medan menyemai nilai ihsan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
 
Di dalam majlis yang sama, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyampaikan sumbangan Ramadan kepada golongan asnaf berjumlah RM365,611,000 yang memanfaatkan 38,490 penerima di Wilayah Persekutuan manakala Yayasan Taqwa-MAIWP juga turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM150,000. Sebanyak 15 buah Institusi Pendidikan Islam negeri-negeri akan menerima sumbangan berjumlah RM10,000 bagi setiap Institusi Pendidikan Islam yang terpilih yang disampaikan oleh YB. Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan disaksikan oleh YB. Dr. Mohammed Taufiq bin Johari, Menteri Belia dan Sukan.
 
Turut hadir YB. Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Y.Bhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM, Y.Bhg. Datuk Mohd. Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Y.Bhg. Tuan Hj. Abdullah Zuhdee bin Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP serta ketua – ketua agensi di bawah JPM hal ehwal agama dan pelbagai golongan masyarakat Islam dan Bukan Islam dalam suasana yang harmoni serta melambangkan semangat perpaduan dalam negara Malaysia.