Sumbangan Perkasa Peranan Mahasiswa

/ / Pendidikan
RM30,000 Sumbangan Yayasan Taqwa MAIWP Perkasa Usaha Mahasiswa IIUM Santuni Masyarakat Orang Asli
 
18 September 2025, Gombak – Yayasan Taqwa MAIWP telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM30,000 bagi menjayakan program khidmat komuniti Mahasiswa IIUM bersama masyarakat Orang Asli. Sumbangan ini adalah tanda komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh agenda pendidikan, dakwah, pembangunan modal insan, serta kesejahteraan masyarakat Orang Asli.
 
Sumbangan tersebut disampaikan secara simbolik melalui penyerahan cek cura dalam Majlis Flag Off yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar di Wadi Budi, IIUM Gombak. Majlis turut menyaksikan pelepasan rombongan peserta program khidmat komuniti yang terdiri daripada mahasiswa IIUM yang akan turun padang menyantuni masyarakat Orang Asli di beberapa lokasi terpilih.
Selain itu, turut diadakan penyerahan cek cura sumbangan RM10,000 kepada Majlis Ta’lim An-Nur (MTAN IIUM), Masjid Sultan Haji Ahmad Shah IIUM bagi tujuan aktiviti dan pengimarahan. Melalui sumbangan ini, program ilmiah bertemakan “Memartabatkan Ahli Sunnah Wal Jamaah” dapat dilaksanakan dengan lebih teratur serta memberi manfaat kepada mahasiswa IIUM.
 
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Rektor IIUM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa MAIWP, Tuan Hj. Suhaili Md Jusoh dan Dr. Mohd Iqbal Abdul Wahab; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Tuan Hj. Abdullah Zuhdee bin Ab Halim; Pengetua Mahallah Sumayyah merangkap Penyelaras Majlis Flag Off, Dr. Shamshina Mohamad Hanifa; serta Director CENTRIS, Dato’ Hamidon Abd. Hamid.
 
Dalam ucapannya, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im menzahirkan rasa bangga melihat semangat mahasiswa IIUM yang turun padang membawa ilmu dan tenaga untuk dimanfaatkan bersama masyarakat. Beliau menegaskan bahawa masyarakat Orang Asli adalah sebahagian daripada warga Malaysia yang berharga, dengan sejarah, budaya dan warisan unik yang perlu dihormati, di samping diberi sokongan dari aspek pendidikan, kesihatan, dan pembangunan insan.
 
Program kerjasama ini melibatkan tiga entiti utama IIUM iaitu Mahallah Sumayyah, COMRADE IIUM dan Kelab Titian Asli IIUM, dengan pengisian berbentuk gotong-royong, pemberian sumbangan, pengisian kerohanian, aktiviti pendidikan serta modul motivasi pelajar.
 
Melalui sokongan Yayasan Taqwa MAIWP, inisiatif mahasiswa IIUM bukan sahaja dapat direalisasikan, malah mampu memberi manfaat berterusan kepada pendidikan, pembangunan insan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli.