25 Jun 2026, Seremban – Program Himpunan Asatizah Muda (HAMKA) Peringkat Negeri Sembilan 2026 telah berlangsung dengan penuh jayanya sebagai platform penting dalam menyatukan fikrah, memperkukuh amal dan memperkasa peranan asatizah muda dalam memartabatkan agama Islam di Malaysia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Berteraskan pendidikan, program ini menjadi wadah strategik untuk membina kekuatan agamawan muda dalam mendepani cabaran dakwah masa kini. Dalam dunia yang semakin mencabar nilai, HAMKA hadir membawa mesej bahawa asatizah muda bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi juga pemimpin masyarakat, pembina sahsiah dan pencorak masa depan ummah.
Melalui pengisian yang dirangka, program ini memberi fokus kepada usaha memastikan penyampaian ilmu agama terus relevan, berkesan dan mampu memberi impak besar kepada masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional.
Majlis telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan. Turut mencuri perhatian dalam program ini ialah gimik pelantikan Pengerusi Daie MADANI Negeri Sembilan, penyampaian Cek Cura sumbangan Yayasan Taqwa MAIWP kepada Sekolah Dato’ Abdul Razak, penyampaian hadiah kuiz MADANI serta persembahan nasyid oleh Hafiz Hamidun yang menyemarakkan suasana himpunan.
Kemuncak program menyaksikan berlangsungnya sesi Town Hall yang disampaikan oleh YB. Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan sinergi antara agensi dalam menyalurkan sokongan padu terhadap program pembangunan modal insan, khususnya melibatkan asatizah muda yang bakal menjadi tonggak kepimpinan ummah pada masa hadapan.
Penganjuran HAMKA Peringkat Negeri Sembilan 2026 merupakan hasil kerjasama erat antara Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) selaku penganjur utama. Sinergi ini turut diperkukuhkan dengan penglibatan pelbagai rakan kerjasama termasuk Yayasan Taqwa MAIWP, YAPEIM, IKIM, TV Alhijrah, Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia serta Sekolah Dato’ Abdul Razak.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Y.Bhg. Datuk Dr. Hasan bin Bahrom, Yang Dipertua YADIM, Y.Bhg. Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, dan Y.Bhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM. Kehadiran para pelajar dan mahasiswa dari pelbagai negeri turut menyerlahkan bahawa masa depan dakwah dan pembangunan ummah sedang dibina oleh generasi muda yang bersedia memimpin dengan ilmu, hikmah dan integriti.
HAMKA bukan sekadar program perhimpunan, tetapi satu isyarat jelas bahawa agenda pemerkasaan asatizah muda sedang digerakkan secara serius dan tersusun. Dengan sokongan pelbagai agensi agama dan pendidikan, usaha ini diharap mampu melahirkan lebih ramai asatizah muda yang bukan sahaja mantap dari sudut keilmuan, malah berupaya menjadi ejen perubahan yang membawa masyarakat ke arah kesejahteraan, perpaduan dan kefahaman Islam yang lebih kukuh.
Yayasan Taqwa MAIWP akan terus komited menyokong agenda pendidikan dan pemerkasaan asatizah demi melahirkan generasi berilmu, berintegriti dan mampu menjadi pemacu transformasi positif dalam masyarakat.















