13 Oktober 2026, Tanjong Malim – Penganjuran International Conference on Disaster Mental Health Counselling (ICDMHC 2026) menjadi mercu tanda penting dalam memperkasakan aspek kesihatan mental dan intervensi psikososial bagi mendepani situasi krisis dan bencana di Malaysia.
Persidangan ini berfungsi sebagai platform akademik dan profesional yang memberi tumpuan khusus kepada kaunseling bencana, ketahanan psikologi, dan kesejahteraan komuniti. Program ini dirangka bagi menyediakan ruang perkongsian ilmu serta hasil penyelidikan yang melibatkan ahli akademik, kaunselor, pegawai psikologi, dan agensi kerajaan bagi meningkatkan kefahaman berkaitan kesan psikologi bencana terhadap individu dan keluarga secara lebih berkesan.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof bin Hj. Othman, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang mewakili YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam majlis tersebut, kepentingan sokongan moral dan sumbangan strategik daripada Yayasan Taqwa-MAIWP serta agensi-agensi terlibat telah ditekankan sebagai pemangkin kepada kejayaan inisiatif pendidikan dan kemanusiaan di bawah teras pendidikan ini.
Penganjuran ICDMHC 2026 ini merupakan hasil sinergi strategik antara Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai penganjur utama dengan kerjasama erat daripada Yayasan Taqwa-MAIWP, PPZ-MAIWP, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) JPM, serta Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB). Kerjasama ini mencerminkan komitmen rentas agensi dalam membina masyarakat yang lebih berdaya tahan.
Kehadiran tetamu kehormat turut menyerikan majlis, termasuk Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Mohd. Asri bin Mohd Noor, Pengarah Akademik dan Antarabangsa yang mewakili Naib Canselor UPSI; Y.Bhg. Tuan Mohd Kamarul Ariffin Mohd Wafa, Setiausaha Politik kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Y.Bhg. Dr. Mohd. Faridh Hafez bin Mohd Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP; serta Y.Bhg. Prof Madya Ts. Dr. Mahizer bin Hamzah, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI bersama pihak pengurusan universiti.
Melalui ucapan Y.Bhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof bin Hj. Othman, ukuran sebenar pemulihan pascabencana bukan sekadar seberapa pantas kita membina semula, malah sejauh mana kita berjaya memulihkan rasa selamat, maruah, harapan dan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat. Di seluruh Malaysia dan rantau ini, bencana yang semakin kompleks mengingatkan kita bahawa kesejahteraan psikologi mesti menjadi sebahagian daripada setiap peringkat kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan.
Seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UPSI telah mengikuti seminar ini yang berlangsung di E-Learning Convention Hall dan E-Learning Lecture Room. Melalui penyertaan ini, para pelajar didedahkan dengan pendekatan intervensi terkini yang amat kritikal bagi memastikan kesejahteraan psikologi menjadi sebahagian daripada elemen kesiapsiagaan dan pemulihan bencana pada masa hadapan.
Yayasan Taqwa-MAIWP terus komited dalam menyokong program berimpak tinggi seperti ini bagi memastikan agenda pendidikan dan kesejahteraan mental rakyat Malaysia terus terpelihara, selaras dengan matlamat untuk melahirkan komuniti yang kental dalam mendepani sebarang krisis.






















