14 FEBRUARI 2026, BEHRANG – Yayasan Taqwa-MAIWP telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM35,685 menerusi Program Jom Ke Sekolah (JKS) di kawasan Behrang dengan kerjasama FELDA Sungai Behrang.
Seramai 195 orang pelajar sekolah rendah dan menengah dari sekitar Behrang telah menerima sumbangan berupa set pakaian serta keperluan persekolahan bagi membantu persiapan mereka menghadapi sesi persekolahan baharu.
Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir ialah YB Hajah Salina binti Samsudin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Y.Bhg. Tuan Hj. Abdullah Zuhdee bin Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP, Y.Bhg. Tuan Shahariman bin Dollah Hashim, Pengarah FELDA Wilayah Trolak, Y.Bhg. Datuk Hj. Sulong Jamil Mohamed Shariff, Ketua Peneroka FELDA Sungai Behrang merangkap Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan serta Y.Bhg. Tuan Zambri bin Kasim, Pengurus Rancangan FELDA Sungai Behrang bersama tetamu jemputan, ibu bapa dan para pelajar.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa sumbangan ini merupakan inisiatif tambahan bagi meringankan beban keluarga penerima, melengkapi bantuan awal Persekolahan yang telah disalurkan oleh kerajaan sebelum ini. Turut berlangsung sesi penyerahan simbolik sumbangan kepada sekolah KAFA, masjid dan surau terpilih di kawasan Behrang.
Program ini turut mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI melalui semangat MADANI Membantu, iaitu memperkukuh nilai keprihatinan, kebersamaan dan kesejahteraan masyarakat melalui agihan bantuan yang menyeluruh dan berimpak.
Semoga sumbangan ini dapat memberi semangat dan motivasi kepada para pelajar untuk terus cemerlang dalam pelajaran.


















